16/06/2017
BERMULA 1 Mei 2015, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menetapkan peraturan kadar VLT (ketelusan cahaya) baharu penggunaan cermin gelap bagi kesemua jenis kenderaan.
Mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991, JPJ menetapkan kadar VLT seperti berikut:
Cermin Depan - 70 Peratus
Cermin Sisi Pemandu & Penumpang Hadapan - 50 Peratus
Cermin Belakang & Sisi Penumpang Belakang - 30 Peratus
Bagi pengguna jalan raya yang ingkar boleh dikompaun RM300. Sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah, mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua minggu atau kedua-duanya.
Panduan Pemasangan Cermin Gelap
FUNGSI FILEM PENAPIS HABA
Umum ketahui, fungsi utama pemasangan filem penapis haba (tinted) pada kenderaan sudah tentu untuk mengurangkan kepanasan bersesuaian dengan keadaan cuaca negara ini.
Hari ini semua pengeluar filem penapis haba menawarkan objektif sama, tetapi apakah mereka menawarkan faedah kedua selain mengurangkan kepanasan?
Kaum wanita, misalnya, mereka akan memakai krim pelindung matahari apabila ke pantai, tetapi kenapa tidak ketika memandu kenderaan, berjalan di luar atau membeli belah kerana sinar ultraungu (UV) tidak terhad di pantai saja.
PERLINDUNGAN UV
Ya, sememangnya ada pengeluar menawarkan filem penapis haba yang mampu mengurangkan panas matahari, malah turut menawarkan perlindungan UV.
Bagi filem penapis haba dengan perlindungan UV, ia mampu mengurangkan risiko kanser kulit akibat pendedahan sinar UV berlebihan ketika memandu. Walau bagaimana, harganya adalah lebih mahal berbanding biasa.
CARI BERKUALITI
Mungkin ada di antara sesetengah pengguna menganggap semua filem penapis haba adalah sama. Asalkan cermin gelap, pasti kepanasan dapat dikurangkan.
Harus ketahui, bukan semua filem cermin gelap adalah sama. Jika anda menggunakan filem penapis haba berkualiti rendah, efek warna akan cepat luntur selain tidak tahan lama.
Apa salahnya anda melabur sedikit untuk mendapatkan filem yang lebih berkualiti. Filem penapis haba dengan ketebalan 4 mil atau 6 mil sudah cukup.
PENJAGAAN FILEM PENAPIS HABA
Ramai bertanya, bagaimana cara penjagaan filem penapis haba supaya bertahan lebih lama.
Dengan adanya pelbagai teknologi terkini, kebanyakkan pengeluar memberikan jaminan di antara lima hingga 10 tahun. Cuma kami tidak menggalakkan pengguna menggunakan bahan cucian yang kuat ketika mencuci kenderaan mereka.
Sebenarnya, mencuci tingkap kereta dengan air biasa sudah mencukupi. Apa yang penting, kain pengelap kereta mesti bebas habuk kerana ia berpotensi menyebabkan kesan calar pada filem.
Jadi, anda mesti elakkan menggunakan kain pengelap yang terlalu kotor.
Kadangkala, calar pada filem berpunca akibat geseran pada getah disebabkan proses menaikkan dan menurunkan tingkap kuasa. Masalah itu sebenarnya berpunca daripada proses penggunaan dan keadaan sesebuah kenderaan.
Ia bukan disebabkan kecacatan filem seperti warna luntur, paparan cermin menjadi kabur atau terdapat buih. Bagi anda yang sedang tercari-cari filem penapis haba, kami harap info ini dapat membantu.
Jika bertanya kami, jangan 'kedekut' melabur wang anda untuk dapatkan filem penapis haba yang lebih berkualiti. Apa-apapun, belilah mengikut kemampuan anda.
Sumber = Pandulajudotcom